Tuesday, May 5, 2015

Hebatnya Wanita yang bergelar Suri Rumah

Teks: Siti Norliah
Foto: koleksi Peribadi

Assalamualaikum.

Alhamdulillah dapat jua menyambung penulisan di blog ini. Pelbagai cabaran untuk menjadi suri rumah yang berjaya. Berjaya di dunia dan berjaya di akhirat.

Bukan satu tanggungjawab yang mudah untuk memegang gelaran ini. Walaupun, zahirnya nampak seperti mudah dan senang, namun kekuatan fizikal dan mental sangat diperlukan.

Dulu ketika masih lagi bekerja, hati sentiasa teringin untuk menjadi suri rumah sepenuh masa. Dalam hati sering berkata, alangkah seronoknya dapat menguruskan rumahtangga sepenuhnya dan menjaga anak tanpa perlu dihantar kepada pengasuh.

Dan sekarang bila gelaran itu telah aku miliki, memang tidak semudah seperti yang disangka. Putaran waktu sering mencemburui. Setiap saat, setiap minit dan jam sentiasa dipenuhi dengan kerja-kerja wajib yang mempunyai dateline on the spot.

Subhanallah,  begitu hebat wanita-wanita yang bergelar surirumah. Sekarang bila aku dapat memegang gelaran itu, Ya Allah betapa aku berterima kasih padaMu kerana diberi peluang merasainya.

Menjadi surirumah juga memerlukan jadual masa agar segala pekerjaan yang ingin dibuat itu teratur dan siap dengan kadar segera, ditambah pula ingin melayan karenah anak kecil yang perlu diberi perhatian sepenuhnya.

Segala ilmu yang pernah kita tuntut di Universiti dulu, tidak semestinya terkubur begitu sahaja malah ianya sangat beguna dalam mendidik anak-anak menjadi insan cemerlang dunia dan akhirat.

Bila telah bergelar surirumah, aku juga menjadi guru kepada anak-anakku. Aku tidak mengharap 100% pengajaran dan pembelajaran daripada guru di sekolah. Setiap pelajaran anakku akan ku pantau dan pastikan setiap subjek dapat anakku kuasai.

Alhamdulillah, anak pertama ku Nur Qhaleesya Qaisara mampu membaca buku seawal umur 4 tahun. Begitu juga dengan iqra dan ayat hafazan. Sekarang ini, dia berusaha untuk menghafal ayat kursi. Teknik yang mudah sering aku terapkan dalam menguatkan daya ingatan anakku.

Setiap kali menghantarnya ke sekolah, aku mewajibkannya membaca ayat kursi bersama-samaku sebelum bermula pemanduan. Lama kelamaan, dia semakin hafal. Begitu juga dengan ayat-ayat lazim dan bacaan dalam solat. Aku jadikan bacaan ayat-ayat tersebut seperti berzikir, sentiasa disebut walaupun dia sedang bermain.

Alhamdulillah,  anakku sara memang anugerah tidak ternilai. Begitu terang hatinya dalam menimba ilmu. Moga menjadi anak yang solehah dan berjaya dunia akhirat serta menjadi kaya agar dapat sentiasa dekat kepadaNya.






1 comment: